‘Kami solid sokong Dr Sam’, kata ulama PAS

‘Kami solid sokong Dr Sam’, kata ulama PAS

Ahli Majlis Syura ulas kenyataan penganalisis Ahmad Samsuri Mokhtar akan berdepan cabaran besar sebagai pengerusi PN oleh golongan agamawan PAS.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Ahli Majlis Syura Ulama Idris Ahmad dan Mahfodz Mohamed senada tidak timbul isu pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi PN tak diterima golongan agamawan PAS. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ulama PAS memberikan sokongan sepenuhnya terhadap pelantikan Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN) sekali gus menolak pandangan mendakwa menteri besar Terengganu itu berdepan cabaran besar untuk diterima golongan agamawan dalam parti.

Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata sokongan itu juga berdasarkan cadangan Presiden Hadi Awang sendiri terhadap Samsuri untuk mengisi jawatan tersebut.

“Solid sokong sama ada ulama, profesional dan aktivis. Hadi yang cadang (nama Samsuri),” katanya yang juga ahli Majlis Syura Ulama PAS kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan penganalisis politik Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, meramalkan Samsuri akan berdepan cabaran besar sebagai pengerusi PN oleh golongan agamawan PAS ketika beliau menjadi harapan untuk menarik sokongan pengundi Melayu atas pagar dan bukan Melayu.

Zaharuddin dari Global Asia Consulting berkata, pelantikan Samsuri atau lebih dikenali Dr Sam sebagai langkah untuk set semula imej konfrontasi PN, sambil mengimbangi kebimbangan Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) mengenai dominasi kelompok agamawan.

Semalam, naib presiden PAS itu dilantik ke jawatan berkenaan bagi menggantikan Muhyiddin Yassin yang berundur pada 1 Jan lalu.

Senada dengan Idris, Ahli Majlis Syura Ulama, Mahfodz Mohamed, berkata secara keseluruhan pelantikan Samsuri diterima baik ahli parti dan jika terdapat pihak yang kurang selesa, ia hanya melibatkan kelompok sangat kecil.

Katanya, pelantikan Samsuri dibuat atas cadangan Hadi dan pimpinan, pada masa sama ahli PAS sentiasa memberikan wala’ dan ketaatan kepada kepimpinan tertinggi.

Beliau turut menjelaskan, struktur kepimpinan PAS terdiri gabungan ulama dan profesional dengan lebih separuh ahli jawatankuasa pusat daripada golongan profesional dan teknokrat.

Golongan agamawan sepenuhnya hanya berada dalam Majlis Syura Ulama dan ahli Jawatankuasa Dewan Ulama, manakala sayap Pemuda dan Wanita pula gabungan antara ulama dan profesional.

“Oleh itu, tidak timbul isu Samsuri tidak diterima golongan agamawan,” katanya.

Mahfodz yang juga pesuruhjaya PAS Johor berpandangan, pelantikan Samsuri mampu membantu memperbaiki persepsi dalam kalangan masyarakat bukan Islam yang sebelum ini melihat parti itu sebagai ekstrem kerana dipimpin golongan ulama.

“Sedangkan hakikatnya, PAS bukan sahaja dipimpin oleh ulama, malah turut diterajui bersama golongan profesional, teknokrat dan akademik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.