Umno pertimbang tarik balik dana Yayasan Perdana

Umno pertimbang tarik balik dana Yayasan Perdana

Ahli MT persoal kewajaran menyumbangkan dana kepada yayasan yang diterajui oleh seseorang yang mahu jatuhkan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR:
Selepas Proton dan Petronas, bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad mungkin bakal kehilangan peruntukan untuk Yayasan Kepimpinan Perdana (YPM) yang diterajuinya sejak tertubuhnya badan itu.

Di sidang media hari ini, ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan perkara peruntukan itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MT esok.

“Dana itu sumbangan (kerajaan). Kita kena fikir adakah kita masih mahu menyumbangkan dana kepada orang yang mahu jatuhkan Perdana Menteri dan BN.

“Kalau kita buat (sumbang dana), saya rasa ia kerja bodoh,” kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan mengulas gesaan Pemuda Umno kepada kerajaan supaya menghentikan semua bantuan kepada YPM, termasuk dalam bentuk harta tetap dan kakitangan.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun hari ini berkata Dr Mahathir memperalatkan YPM dalam usahanya melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

YPM ditubuhkan pada Januari 2003 sebagai pertubuhan yang bukan membuat keuntungan untuk mengkaji dan mempromosikan pemikiran dan warisan perdana menteri Malaysia.

Ia dilancarkan secara rasmi pada 10 Mei 2005 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi. Dr Mahathir pula merasmikan Pustaka Perdana – yang menempatkan pelbagai maklumat berhubung perdana menteri negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.