Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, selaras subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Abu Kassim, 55, untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ali berkata, Abu Kassim akan terus menyumbang kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara wajib pada 6 Disember 2020. Abu Kassim dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari 2010.
“Kerajaan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tan Sri Abu Kassim yang banyak berjasa kepada negara selama beliau memegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya.
Beliau berkata, dalam tempoh Abu Kassim menerajui SPRM, suruhanjaya itu melaksanakan fungsi-fungsinya dengan cemerlang selaras visi untuk mewujudkan masyarakat Malaysia bebas rasuah berlandaskan nilai-nilai kerohanian dan moral yang tinggi.
Menurutnya, kerajaan turut mengucapkan tahniah kepada Abu Kassim atas pelantikan sebagai anggota fakulti (pakar jemputan) Akademi Pencegahan Rasuah Antarabangsa (IACA) di Austria, iaitu institusi pengajian anti rasuah unggul di dunia di bawah tajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
“Beliau (Abu Kassim) juga akan menyumbang pengalaman dan kepakarannya sebagai perunding di Universiti Teknologi MARA (UiTM),” katanya.
Ali berkata, di peringkat antarabangsa, Abu Kassim akan terus memegang jawatan sebagai Naib Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Anti Rasuah Antarabangsa (IAACA) dan Ahli Lembaga Pentadbir IACA sehingga tamat tempoh pelantikan tersebut.
– BERNAMA