Referendum untuk pembangkang, Dr M di Sungai Besar

Referendum untuk pembangkang, Dr M di Sungai Besar

Walaupun isu nasional seperti GST dan 1MDB dibawa oleh pembangkang ke Sungai Besar, nampaknya ia tidak memberi kesan kepada rakyat tempatan

SUNGAI BESAR:
Setelah 12 hari Barisan Nasional, Amanah dan Pas berkempen tiba masanya untuk rakyat membuang undi.

Budiman Mohd Zohdi, Azhar Abdul Shukur dan Dr Rani Osman merupakan calon-calon yang bertanding bagi merebut kerusi yang ditinggalkan penyandang lalu, Allahyarham Datuk Noriah Kasnon ekoran nahas helikopter di Sarawak.

Budiman ketika berkempen sering menggunakan istilah ‘kampung boy’, manakala Azhar pula dengan baju warna oren tegas dengan pendirian menolak Datuk Seri Najib Razak

Sementara Rani yang juga merupakan Adun Meru walaupun kekal dengan imej Islamik dilihat sukar menarik sokongan memandangkan beliau bukan anak tempatan.

Walaupun isu nasional seperti GST dan skandal wang syarikat pelaburan milik kerajaan 1MDB dibawa oleh pembangkang ke Sungai Besar, nampaknya ia tidak memberi kesan kepada rakyat tempatan.

Sebaliknya isu harga padi dan cukai jeti tambatan serta pendaratan yang ditimbulkan pada hari-hari terakhir dilihat berjaya menarik perhatian rakyat Sungai Besar yang rata-ratanya bekerja sebagai nelayan dan petani.

FMT telah menemui beberapa orang pengundi di Sungai Besar bagi mendengar luahan hati mereka terhadap calon-calon yang bertanding.

Majoriti rakyat Sungai Besar tidak melihat PRK ini sebagai suatu referendum kepada Najib. Walaupun kerap dicanangkan oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam kempen dan ceramah mereka serta disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naufal Amri, 23, antara mereka yang tidak melihat PRK Sungai Besar sebagai suatu referendum. Sebaliknya, dia lebih cenderung menilai peribadi calon yang bertanding.

“Ia (sokongan atau penolakan pengundi) bukan pada Kerajaan Pusat, tetapi pada pemimpin Parlimen itu sendiri.

“Kalau calon itu kalah, beliau sendiri yang kalah, bukan Najib atau mana-mana pemimpin,” katanya. Naufal merupakan pelajar tahun akhir di institut pengajian tinggi awam.

Begitu juga Mohamad Haziq Ahmad Fahmi, 23, yang mengakui bahawa PRK ini penting untuk negara. Dia merasakan sokongan atau penolakan pengundi pada Budiman si anak jati Sungai Panjang hanyalah petunjuk yang bersifat setempat.

“Saya tidak setuju jika ada yang menyatakan mengundi Budiman sama seperti mengundi Najib. Jika Budiman kalah, tidak bermakna rakyat menolak Najib tetapi cuma rakyat ingin melihat kepimpinan orang lain,” katanya.

Haziq sedar apa yang diperkatakan pembangkang mengenai Najib, tetapi dia nampaknya berpuas hati dengan apa yang dilihat ada pada Budiman.

“Kali ini calon Budiman lain sikit, gaya dia biasa dan memang dekat dengan rakyat. Kalau dia menang, saya tidak lihat sikap dia akan sama seperti Najib (yang sering dikatakan boros, rasuah dan kuku besi),” jelasnya.

Penguasaan calon BN di hati rakyat terus utuh kerana Budiman bukan sahaja mendapat sokongan warga muda, tetapi juga warga emas.

Masron Mansor, 65, berasa payah untuk mengundi Pakatan Harapan kerana tidak sanggup melihat calon Amanah bersama dengan ahli-ahli politik yang menyokong atau terbabit meluluskan rumah-rumah urut di Selangor.

“Saya lebih mempercayai calon yang betul-betul tempatan iaitu Budiman. Azhar memang rakyat tempatan tetapi dia baru sahaja pulang ke kampung.

“Takkan kita hendak undi orang luar serta orang yang bersama-sama meluluskan rumah urut,” katanya yang juga seorang pesawah.

Bercerita mengenai rumah urut, Masron tidak terlepas mengulas mengenai calon parti Islam. Dr Rani di matanya seorang yang mempunyai keperibadian yang elok terutamanya dalam kalangan masyarakat beragama Islam.

Namun Pas tidak meyakinkan hati tuanya, dan Masron berpendapat pengundi harus berfikir secara realistik.

“PAS memang kita tahu kini bersendiri. Parti itu bagus tetapi dia ada agenda dia sendiri.

“Kalau dia (PAS) menang apa yang dia boleh lakukan kepada kami di sini?” soalnya, yang kemudian memberitahu FMT telah menerima bantuan baja dan racun bernilai RM5,000.

Walaubagaimanapun, itu bukan penentu kepada kejayaan Budiman. Sebaliknya 42,655 rakyat Sungai Besar yang akan menjadi penentu siapakah ahli Parlimen yang layak mewakili suara nelayan dan petani di Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.