Menteri pengguna masih tak faham, kata Ikhlas

Menteri pengguna masih tak faham, kata Ikhlas

Ridzuan berkata apa yang menjadi masalah adalah harga makanan mahal yang menjadi tanggungjawab KPDNKK.

ikhlas
PETALING JAYA: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas) berkata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin masih tidak faham tegurannya mengenai caj tapak bazar Ramadan yang terlalu tinggi.

Pertubuhan mewakili pengusaha kecil itu menjelaskan, caj mahal itu menyebabkan peniaga menjual makanan dengan harga tinggi dan oleh itu menjadi tugas kementerian berkenaan mengambil tindakan.

“Menteri jangan buta hati, bukankah pembangkang hentam kerajaan sebab harga makanan mahal, malulah sikit YB yang dipertanggungjawab untuk selesaikan isu harga barang, kalau tak faham juga boleh jumpa Ikhlas, saya bagi tunjuk ajar secara percuma macam mana hendak jadi menteri yang betul-betul mesra rakyat dan menyelesaikan masalah, bukannya memberi seribu satu alasan,” kata kata Presiden Ikhlas, Mohd Ridzuan Abdullah kepada FMT.

Beliau mengulas jawapan Hamzah terhadap kritikan Ikhlas sebelum ini, yang menuduh menteri itu “tidur” dan tidak tahu menyelesaikan masalah peniaga bazar Ramadan.

Hamzah berkata tapak bazar Ramadan di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukan kementeriannya.

“Kalau saya yang jaga, saya yang tidur. Ini bukan saya, jadi orang yang bercakap itu tidur,” kata Hamzah semalam.

Bagaimanapun, Ridzuan berkata apa yang menjadi masalah adalah harga makanan mahal yang menjadi tanggungjawab KPDNKK.

“Betul PBT sediakan tapak bazar tetapi kalau sewa tapak bazar sampai puluh ribu, adakah peniaga nak jual barang dengan harga murah, bila harga makanan mahal kenapa KPDNKK bising dan ambil tindakan.”

Ridzuan turut mencabar Hamzah menyelesaikan masalah kenaikkan harga barang dalam tempoh enam bulan.

“Cari punca harga barang naik dan cadangkan kepada kabinet tindakan yang boleh di ambil supaya selepas enam bulan tersebut harga barang turun 40%,” tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.