
Setiausaha akhbar kanan kepada perdana menteri berkata, langkah itu juga bagi membantu peniaga kecil yang berniaga di bazar Ramadan.
Menurut Tunku Nashrul, Anwar telah mengarahkan agensi terbabit meningkatkan pemantauan harga makanan di bazar Ramadan bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.
“Perdana menteri sendiri akan melawat beberapa bazar Ramadan bagi melihat harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.
“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan program Jualan Rahmah Madani sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Tunku Nashrul berkata Anwar dalam perbincangan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali, turut meminta kementerian terbabit menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.
“Ini termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sentiasa mencukupi,” katanya.
Menurutnya, Anwar juga mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan jika terdapat gangguan bekalan.
“KPDN perlu lebih tegas dalam memastikan peniaga mematuhi harga maksimum ditetapkan kerajaan termasuk bagi barangan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan diumumkan kelak,” katanya.