Warga emas rebah, meninggal dunia di bazar Ramadan

Warga emas rebah, meninggal dunia di bazar Ramadan

Zainon Said, 75, ditemui tidak sedarkan diri di bazar terbabit kira-kira 4.30 petang.

mayat
Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah di tempat kejadian, kata Ketua Polis Baling Azmi Mokhtar. (Gambar Pixabay)
PETALING JAYA:
Seorang warga emas meninggal dunia selepas rebah di bazar Ramadan di Baling, Kedah petang tadi.

Ketua Polis Baling, Azmi Mokhtar, berkata anak lelaki mangsa berusia 51 tahun dihubungi orang awam memaklumkan bapanya, Zainon Said, 75, tidak sedarkan diri di bazar terbabit kira-kira 4.30 petang.

Katanya, sejurus kemudian anaknya terus menghubungi Pejabat Kesihatan Kupang.

“Ketua Balai Polis bersama dua anggota rondaan cegah jenayah (RCJ) tiba di tempat kejadian dan menjalankan siasatan sebelum mendapati warga emas terbabit sudah meninggal dunia.

“Hasil temu bual dengan salah seorang anak warga emas itu mendapati bapanya mempunyai sejarah penyakit kronik, iaitu kencing manis, darah tinggi dan kolesterol tinggi serta pernah mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Parit Panjang, Kupang.

“Warga emas itu juga pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar kerana mengalami pendarahan usus yang serius, dan ditahan di wad selama seminggu,” katanya, lapor Berita Harian.

Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati tiada berlaku apa-apa unsur jenayah di tempat kejadian.

“Mayat dibawa pulang ke rumah mangsa di Kampung Banggol Asam Jawa untuk urusan pengebumian,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.