Cabul 3 wanita di bazar Ramadan, duda mengaku tak salah

Cabul 3 wanita di bazar Ramadan, duda mengaku tak salah

Lelaki berusia 51 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu di bazar Ramadan di Temerloh.

Tertuduh berdepan empat pendakwaan dengan mahkamah benar ikat jamin RM14,000 bagi semua pertuduhan. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Duda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Temerloh kerana mencabul tiga wanita di bazar Ramadan Lurah Semantan, pada 6 dan 10 Mac.

Tertuduh, Nazarin Romeli, 51, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Tan Chew King selepas empat pertuduhan dibacakan.

Pertuduhan pertama menyatakan, tertuduh kira-kira 6.40 petang pada 6 Mac di tapak bazar Ramadan itu telah menggunakan kekerasan jenayah menyentuh payu dara seorang wanita 26 tahun, menggunakan lengan dan siku dengan maksud mencabul kehormatannya.

Pertuduhan kedua melibatkan mangsa sama dengan pertuduhan pertama di lokasi dan masa sama, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah, melanggar punggung mangsa dengan paha dengan maksud mencabul kehormatan mangsa.

Menurut pertuduhan ketiga, kira-kira 6.20 petang pada 10 Mac di tapak bazar Ramadan sama, tertuduh telah menggunakan kekerasan jenayah melanggar bahagian dada seorang wanita 22 tahun menggunakan lengan dan siku dengan maksud mencabul kehormatannya.

Dalam pertuduhan keempat pula, tertuduh kira-kira 6.40 petang pada 6 Mac di tapak bazar Ramadan tersebut telah menggunakan kekerasan jenayah melanggar dada seorang wanita 28 tahun menggunakan lengan dan siku dengan maksud mencabul kehormatannya.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Justeru, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 354 Kanun keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan selama 10 tahun atau denda, atau dengan sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Adriana Azrin, manakala tertuduh diwakili peguan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Nursyazwani Rosselan.

Dalam prosiding Adriana meminta jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tertuduh tidak boleh mendekati mangsa dan saksi sehingga kes selesai, menurut laporan Kosmo.

Bagaimanapun, Nursyazwani meminta jaminan minima memandangkan tertuduh bekerja kampung dengan pendapatan RM1,000 menyara tiga individu.

Tan menetapkan jaminan RM14,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 17 April ini bagi sebutan semula kes termasuk lantikan peguam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.