BN lapor polis dakwaan Mastura terima ‘derma’ RM500,000

BN lapor polis dakwaan Mastura terima ‘derma’ RM500,000

Laporan polis dibuat bagi mengesan pelaku yang berniat jahat dan cuba menggunakan taktik kotor

zambry-mastura

 KUALA KANGSAR: Barisan Nasional (BN) hari ini membuat satu laporan polis berhubung dakwaan calon kerusi Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid menerima derma RM500,000, yang kini tersebar di media sosial.

Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata dakwaan itu menggunakan penyata bayaran kepada sebuah firma guaman untuk memberi gambaran yang salah terhadap Mastura.

“Tuduhan itu memaparkan wajah Mastura dengan sekeping cek bernilai RM500,000 dan menunjukkan dia (Mastura) seperti menerima cek bayaran itu daripada sebuah firma guaman,” kata Zambry dalam satu sidang media di Safari Resort.

Bernama menamakan firma guaman itu sebagai Yazid Baba & Partners. Zambry dilaporkan berkata penyata tersebut sebenarnya bayaran atau pendahuluan kepada firma berkenaan yang dibuat pada tahun 2012.

Menurut Zambry, Mastura merupakan rakan kongsi di firma itu.

Beliau menjelaskan memasukkan wang ke dalam akaun firma guaman atas tujuan seperti deposit pembelian rumah, bayaran khidmat guaman, pembelian hartanah atau pembelian saham merupakan amalan lazim.

Malah, peguam tidak boleh menggunakan wang berkenaan kerana ia melanggar etika bidang itu kerana akaun bank firma bukanlah akaun bank peribadi.

“Jadi tidak timbul Mastura terlibat dalam aktiviti serta kegiatan yang melanggar undang-undang,” tegas Zambry.

Beliau menganggap penyebaran tuduhan ini sebagai langkah terdesak pihak tertentu untuk memburukkan calon BN. Pengundi Kuala Kangsar akan membuang undi esok.

Pilihan raya kecil di sini menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan BN, PAS, Amanah dan seorang calon Bebas. Pencalonan Mastura pernah mendapat bantahan daripada ahli Umno sendiri.

“Kita terpaksa membuat laporan polis. Kita tidak mahu menuduh sesiapa. Kita biarkan polis menjalankan siasatan,” katanya, yang mengecam taktik itu sebagai perbuatan jijik.

“Satu gambar juga beserta cek itu juga turut dikaitkan dengan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.