
Halim Ishak, bekas anggota komando VAT 69 PDRM, berkata, beliau pergi ke Filipina sebanyak tiga kali dan menghabiskan masa enam hari menghubungi dan menemui Nur Misuari di Pulau Jolo.
China Press memetik Halim sebagai berkata, Nur Misuari berjanji boleh menyelamatkan empat rakyat Malaysia tanpa sebarang pertumpahan darah, namun meminta diberikan tempoh tujuh hingga 10 hari berunding dengan kumpulan militan Abu Sayyaf.
“Nur Misuari membawa kira-kira 70 pengikutnya dan berjaya mengesan kedudukan empat rakyat Malaysia itu,” kata Halim, yang juga pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (YKKM), .
Menurutnya, Nur Misuari kemudiannya mengadakan rundingan dengan kumpulan “Lucky 9” yang mempunyai kira-kira 50 anggota bersenjata di bawah Abu Sayyaf.
Jelasnya, kumpulan penculik itu pada mulanya meminta wang tebusan sebanyak RM30 juta tetapi selepas rundingan antara Nur Misuari dan penculik, mereka bersetuju membebaskan empat pemuda dari Sibu, Sarawak itu.
Sebelum ini, media melaporkan perunding dari Malaysia dan Filipina difahamkan menggunakan khidmat orang berpengaruh di selatan Filipina serta anggota MNLF untuk berunding dengan kumpulan penculik itu.
Akhbar itu juga mendapat tahu rundingan demi rundingan dengan timbalan komander Abu Sayyaf, Majan Sahidjuan atau lebih dikenali sebagai Apo Mike yang mengenali pemimpin kumpulan militan itu hanya selesai pada malam 7 Jun lalu.