Kaji mekanisme baru benar sekolah kerajaan ambil pelajar asing

Kaji mekanisme baru benar sekolah kerajaan ambil pelajar asing

Kajian itu selaras hasrat kerajaan untuk memastikan semua kanak-kanak yang lahir di negara ini diberi peluang mendapatkan pendidikan di sekolah.

P Kamalanathan

KUALA LUMPUR:
Kementerian Pendidikan sedang mengkaji mekanisme baru bagi memudahkan prosedur pengambilan kanak-kanak bukan warganegara untuk belajar di sekolah kerajaan.

Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata, kajian itu selaras hasrat kerajaan untuk memastikan semua kanak-kanak yang lahir di negara ini diberi peluang mendapatkan pendidikan di sekolah.

“Anak-anak yang ibu bapanya tiada dokumen langsung pun kita cuba beri peluang mengikut cara yang ditetapkan.

“Kita akan terus mencari ruang dan peluang untuk memastikan anak di Malaysia tidak tertinggal dalam mendapat peluang pendidikan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Syed Ibrahim Kader pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara hari ini.

Syed Ibrahim bertanya sama ada kementerian itu mengeluarkan pekeliling mengenai pengambilan kanak-kanak bukan warganegara ke sekolah kerajaan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Hou Kok Chung mengenai dasar Kementerian Pendidikan berhubung pengambilan kanak-kanak daripada perkahwinan warganegara Malaysia dan warga asing memasuki sekolah, Kamalanathan berkata, penerimaan mereka berdasarkan Surat Pekeliling Iktisas Bil. 1/2009 Kemasukan Kanak-kanak Warganegara Malaysia Tanpa Dokumen.

“Berdasarkan surat pekeliling itu, pertama, mana-mana seorang daripada ibu bapa kanak-kanak itu adalah warganegara Malaysia; kedua, surat pengesahan atau surat pengakuan ketua kampung bahawa kanak-kanak itu adalah anak kepada warganegara,” katanya.

Kanak-kanak warganegara Malaysia yang tidak mempunyai dokumen juga boleh mendapatkan surat sokongan daripada Penghulu, Ketua Anak Negeri, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Pengerusi Jawatankuasa Ketua-ketua Kampung Persekutuan (JKKP) bagi bantu mereka mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan.

“Selepas memasuki sekolah, ibu bapa kanak-kanak itu perlulah berusaha mendapatkan dokumen pengenalan diri yang sah dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi membolehkan mereka menduduki peperiksaan dan seterusnya memudahkan mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya,” katanya.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.