“Penculik beritahu kami, jika tidak dapat wang tebusan apabila tiba masanya, kami berempat akan dibunuh dan kepala pertama yang dipancung ialah saya,” katanya dalam sidang media yang diadakan di rumah tebusan termuda, Johnny Lau Jung Hien di Sibu, Sarawak pagi tadi.
Pemuda berusia 31 tahun itu yang sudah lapan tahun bekerja dalam bidang perkapalan menegaskan, beliau tidak mahu lagi bekerja sebagai anak kapal, sebaliknya hanya mahu mencari pekerjaan di darat.
“Lagi banyak gaji pun tak mahu. Pukul saya sampai mati pun saya tak mahu keluar (laut) lagi, saya sangat takut,” katanya yang dilaporkan Sin Chew Daily.
Beliau yang menyifatkan kejadian itu sebagai mimpi ngeri berkata, sebaik sahaja memejamkan mata semalam, proses penculikan itu mula muncul dalam fikirannya.
“Saya tidak mahu cerita pengalaman itu lagi, terlalu menakutkan. Saya tak pernah fikir akan hidup dan pulang ke rumah.
“Kami mahu berterima kasih kepada semua orang yang sumbang wang untuk selamatkan kami. Nyawa kami berempat diselamatkan oleh anda. Terima kasih atas bantuan semua dan juga laporan serta keprihatinan media,” tambahnya.
Sementara itu, adiknya yang berusia 29 tahun, Teck Chii menjelaskan, walaupun sering berpindah dari sebuah lokasi ke lokasi lain, mereka bagaimanapun tidak dapat melarikan diri kerana mereka dikawal penculik yang dilengkapi senjata api.
Malah katanya, ada di antara mereka yang diikat kaki atau tangan dengan rantai besi.
Sementara itu, Datuk Lau Cheng Kiong yang merupakan bapa saudara Johnny mewakili keluarga empat tebusan terbabit mendedahkan, wang tebusan itu dikeluarkan dari Bank Hong Leong di Sandakan, Sabah untuk diserahkan kepada polis.
Disebabkan syarat yang ditetapkan Bank Negara Malaysia, semua wang sumbangan itu terpaksa dibahagikan kepada 12 peti besi untuk dihantar ke bank terbabit mulai jam 4 petang 24 Mei lalu.
Jelasnya, wang itu kemudiannya dimasukkan ke dalam beg plastik sampah oleh dua anggota polis Cawangan Khas (SB) dari Sandakan sebelum diangkut ke Balai Polis Sandakan pada jam 6 petang.
Terdahulu, empat tebusan itu mendedahkan wang tebusan sebenarnya telah diserahkan kepada Abu Sayyaf, namun enggan mendedahkan jumlahnya.
Menurut mereka, wang tebusan itu adalah hasil sumbangan orang ramai.
Laporan sebelum ini memaklumkan jumlah kutipan derma itu mencecah kira-kira RM400,000.
Namun, media sebelum itu melaporkan wang tebusan yang diminta penculik adalah 300 juta peso (RM30 juta), sebelum dikurangkan kepada 180 juta peso (RM18 juta).
Adik-beradik, Teck Kang dan Teck Chii bersama sepupu mereka, Johnny yang berusia 21 tahun dan rakan sekerja, Wong Hung Sing, 34, diculik dari sebuah kapal tunda di perairan Pulau Ligitan, berhampiran Semporna pada 1 April lalu.
Mereka dibebaskan Rabu lalu dan hanya tiba di kampung halaman di Sibu pada 8.45 pagi semalam dengan menaiki pesawat dari Kota Kinabalu sambil ditemani bapa Teck Kang dan Teck Chii serta abang Johnny.