Lelaki ditahan menyamar pengiring konvoi jenazah

Lelaki ditahan menyamar pengiring konvoi jenazah

Lelaki berusia 33 tahun yang baru beberapa bulan bekerja untuk sebuah rumah urus mayat ditahan di Jalan Connaught, Cheras semalam.

kereta JEnazah

PETALING JAYA:
Seorang lelaki yang bekerja di sebuah rumah urus mayat ditahan polis semalam gara-gara menyamar sebagai pengiring trafik untuk konvoi kenderaan jenazah.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, DSP Shafie Daud yang dipetik Oriental Daily sebagai berkata, lelaki berbangsa Cina berusia 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam oleh seorang anggota polis trafik yang sedang meronda di Jalan Connaught, Cheras.

Suspek yang bukan anggota polis itu didapati memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dilengkapi lampu strobe dan siren polis untuk “membuka jalan” buat enam kenderaan yang menyertai konvoi kenderaan jenazah itu.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek baru beberapa bulan bekerja dengan rumah urus mayat itu dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (menyamar sebagai penjawat awam) bagi mengetahui lampu strobe itu dibeli dari mana,” katanya.

Ketika kejadian, hanya kenderaan pacuan empat roda itu berhenti, manakala sebuah kereta jenazah jenis Mercedes-Benz bersama tiga kereta, sebuah van dan sebuah bas yang mengekorinya bertindak melarikan diri walaupun telah diarahkan untuk berhenti.

Hasil pemeriksaan mendapati kenderaan yang dipandu suspek itu bukan milik kerajaan dan ia kemudiannya disita polis.

Pemilik rumah urus mayat serta pemandu enam kenderaan yang mengingkari arahan berhenti akan dipanggil untuk membantu siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.