Presidennya, Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali berkata, ini kerana guru-guru juga boleh memperolehi cuti lain seperti cuti tanpa gaji, cuti khas dan sebagainya.
“Saya percaya takkan begitu terdesak guru tak ada cuti untuk menikmati bersama isteri, suami dan keluarga.
“Cuti itu pada saya memang banyak bagi guru, tak ada masalah,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tweet Abdullah Mohd Nawi yang mengeluh isterinya yang merupakan seorang guru terpaksa pulang ke sekolah pada minggu pertama cuti sekolah dan sibuk memeriksa kertas peperiksaan sepanjang masa.
Abdullah menjelaskan, isterinya terpaksa menanda kertas peperiksaan daripada empat kelas yang mempunyai 40 orang pelajar setiap satu terhadap tiga mata pelajaran yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 480 kertas peperiksaan.
Katanya, isterinya mengambil masa 240 jam untuk menanda kertas peperiksaan dan menambah “Jika dia menanda tanpa henti dan tidak tidur, ia akan mengambil masa sebanyak sepuluh hari. Cuti sekolah hanya 14 hari.
Abdullah berkata, dia telah mengambil cuti tahunan dengan tujuan untuk menikmati cuti bersama isterinya dan menyoal “Sesungguhnya, perlu ada cara yang lebih baik untuk guru-guru mempunyai rehat yang sebenar semasa cuti sekolah?”
Mengulas lanjut Mohamad berkata, sekiranya ada halangan untuk menanda kertas peperiksaan, guru terbabit boleh berbincang dengan guru besar untuk tidak menjadi pemeriksa sekiranya ia berkaitan dengan kertas peperiksaan awam.
