Pakaian seksi: JAHEAIK salah guna kuasa

Pakaian seksi: JAHEAIK salah guna kuasa

Perlembagaan Persekutuan bagaimanapun tidak memberi kuasa kepada pihak berkenaan untuk mencampur tangan dalam kebebasan seseorang itu berpakaian.

MCA,-Ng-Kian-Nam

PETALING JAYA:
Tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) menahan wanita berpakaian ketat, menjolok mata dan seksi sepanjang Ramadan disifatkan sebagai satu bentuk penyalahgunaan kuasa serta menindas hak kebebasan mereka.

Ketua Biro Undang-undang Pemuda MCA, Ng Kian Nam yang dilaporkan China Press sebagai berkata, Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengendalikan hal ehwal berkaitan agama, termasuk undang-undang keluarga atau individu Muslim, wasiat, perkahwinan, perceraian dan adat resam.

Sehubungan itu, setiap negeri mempunyai undang-undang dan mahkamah syariah sendiri.

“Tetapi, keadaan di Kelantan lebih serius kerana ia menyelitkan hudud ke dalam undang-undang Islam di negeri itu (Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan Rang Undang-undang Kanun Jenayah Syariah II (1993) pindaan 2015),” katanya ketika dihubungi akhbar itu semalam.

Jelasnya, Perlembagaan Persekutuan bagaimanapun tidak memberi kuasa kepada pihak berkenaan untuk mencampur tangan dalam kebebasan seseorang itu berpakaian.

Jadi, pihak berkuasa agama di Kelantan telah melanggar hak kebebasan individu kerana mereka yang mempunyai tafsiran subjektif terhadap pakaian ketat dan menjolok mata bertindak meletakkan tafsiran sendiri itu ke atas undang-undang.

Tegasnya, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai definisi terhadap cara berpakaian menjolok mata mengikut kanun keseksaan, di mana dua model masing-masing didenda RM400 kerana seorang hanya memakai seluar panjang manakala seorang lagi memakai coli dan seluar dalam putih ketika menyertai sesi fotografi di lampu isyarat Jalan Sultan Yusof di Ipoh pada 2014.

Kedua-dua model itu didakwa mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan yang menimbulkan kegusaran am kepada orang awam.

“Dalam masyarakat timur, kita mempunyai had minimum terhadap cara berpakaian, iaitu tidak boleh berpakaian menjolok mata, terdedah atau tidak sesuai di tempat awam dan kes dua model itu adalah satu daripada contohnya,” katanya.

Beliau berkata, wanita dan lelaki Muslim diberikan layanan berbeza di bawah undang-undang syariah, contohnya wanita akan dikritik orang lain jika mereka berpakaian ketat tetapi tiada masalah bagi lelaki yang tidak berbaju di gim.

Minggu lalu, JAHEAIK menerusi ‘Ops Ramadan dan Aurat’ memberi kaunseling kepada wanita Islam yang dikesan tidak bertudung atau berpakaian ketat dan menjolok mata sepanjang Ramadan di negeri itu.

Pengarah JAHEAIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh dilaporkan sebagai berkata, operasi itu bertujuan memberi kesedaran tentang kewajipan menutup aurat mengikut hukum Islam.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.