Kebakaran besar di Düsseldorf, barat Jerman itu berlaku pada Selasa lalu disebabkan dua pelarian lelaki berusia 26 tahun dari Maghribi yang tidak berpuas hati dengan kakitangan di pusat pelarian itu tidak mengejutkan mereka untuk bersahur.
Pusat pelarian itu menempatkan 282 pemohon suaka lelaki yang kebanyakannya berasal dari Syria, Iraq, Afghanistan dan negara-negara Afrika Utara.
Kejadian itu turut menyebabkan 28 orang terpaksa menerima rawatan akibat menghidu terlalu banyak asap.
Susulan itu, pendakwa raya yang dipetik portal berita The Local berkata, lapan lelaki telah ditahan termasuk dua lelaki yang disyaki memulakan kebakaran itu.
Seorang daripada suspek itu disyaki menyimbah cecair mudah terbakar ke atas tilam sebelum menyalakan api.
Menurut saksi, perbalahan sering tercetus antara penganut agama berlainan di kemudahan kendalian Palang Merah itu.
“Pada bulan Ramadan ini, ada satu kumpulan individu yang mahu berpuasa manakala yang lain bertegas mahu makanan dihidangkan seperti biasa.
“Ini menyebabkan beberapa perbalahan berlaku antara pegawai-pegawai Palang Merah Jerman,” kata jurucakap pendakwa raya, Ralf Herrenbrück kepada stesen penyiaran WDR.