Pun begitu, Mastura tetap memaafkan Timbalan Pengerusi AMANAH Perak itu dan menerima kenyataannya dengan hati terbuka.
“Sebagai seorang manusia biasa seperti saudara semua, semestinya perkataan-perkataan itu mengguris hati saya dan anak-anak. Tetapi saya maafkan Datuk Seri Nizar sebab saya percaya Allah Taala akan menunjukkan kebenaran kepada kita semua,” katanya dalam sidang media yang diadakan di rumahnya hari ini.
Isnin lalu, Nizar dalam ceramahnya di Kuala Kangsar mengaitkan tragedi dua ahli Parlimen BN terbunuh dalam nahas helikopter di Sarawak, pada 5 Mei lalu sebagai balasan Allah terhadap kerajaan persekutuan susulan kebiadapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merampas kerajaan negeri Perak daripada pimpinan Pakatan Rakyat pada 2009.
Semalam juga, anak-anak Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad berkata, mereka turut terguris dengan kenyataan Nizar.
Bercakap bagi pihak keluarganya, anak kedua pasangan itu, Wan Imar Izzat menyuarakan kekesalannya kerana Nizar sanggup mempolitikkan nahas yang menimpa arwah bapanya.
Sementara itu, Mastura menolak dakwaan beliau dipaksa untuk menjadi calon BN pada PRK Kuala Kangsar.
“Saya tak pernah berbincang dengan sesiapa, saya hanya mendapat panggilan telefon daripada Menteri Besar Perak (Datuk Seri Zambry Abdul Kadir).
“Saya bukan calon paksa, saya buat semua ini atas kerelaan saya sendiri kerana merasakan saya perlu meneruskan kecemerlangan arwah untuk membantu orang Kuala Kangsar,” katanya.
