Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, sekolah baru itu yang terletak 2.5 kilometer dari sekolah asal, dibina dengan anggaran kos RM3 juta.
Bagi menyegerakan pembinaan sekolah itu, beliau berkata, ia akan dibina menggunakan teknik Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang telah digunakan dalam pembinaan enam sekolah di Bumi Kenyalang.
Fatimah berkata demikian pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; ADUN Saribas, Mohd Razi Sitam dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Rakayah Madon di bangunan Dewan Undangan Negeri hari ini.
“Ini adalah langkah jangka panjang yang kami telah bincangkan dan dipersetujui oleh Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
“Bagi langkah jangka pendek, 73 murid dan tiga guru di sekolah itu akan menyambung pembelajaran mereka di sekolah berhampiran, iaitu SK Paoh pada sesi tengah hari,” katanya.
Fatimah yang turut bertanggungjawab dalam soal pendidikan di negeri itu berkata, terdapat 486 sekolah berisiko tinggi di negeri itu.
“Ia berisiko tinggi kerana dibina di kawasan banjir, lokasi di tebing sungai, di atas gunung atau kedudukannya di sebelah gunung dan berdepan risiko hakisan tanah,” katanya.
Beliau berkata, senarai sekolah itu telah dihantar kepada Kementerian Pendidikan dan beliau berharap mendapat maklum balas segera untuk menggantikan sekolah berkenaan.
Sementara itu, Douglas berkata, insiden yang menimpa SK Kampung Buda harus dijadikan iktibar oleh Kementerian Pendidikan untuk segera bertindak mengatasi masalah itu yang banyak dihadapi sekolah lama di kawasan luar bandar negeri itu.
“Kami berharap kementerian akan segera bertindak untuk membina sekolah baru bagi menggantikan sekolah yang berisiko ini,” katanya.
Beliau dijangka terbang ke Spaoh lewat hari ini untuk melihat sendiri kerosakan yang dialami SK Kampung Buda.
Beliau sepatutnya terbang ke sana semalam tetapi berikutan masalah teknikal yang dialami helikopter menyebabkan Douglas dan Razi membatalkan penerbangan itu.
– BERNAMA
