Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah berkata, tindakan sewajarnya akan diambil Pasukan Penguatkuasa Pilihan Raya (PPKPR) untuk memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap pemasangan bahan kempen mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.
“Pihak SPR sekali lagi mengingatkan bahawa perbuatan ini adalah bertentangan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Di bawah Seksyen 4A Akta ini, menjadi kesalahan bagi mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas pilihan raya antaranya apabila melakukan apa-apa perbuatan atau penyataan bertujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan yang jika didapati bersalah boleh dipenjara maksimum lima tahun atau didenda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau merujuk kepada tindakan memasang papan iklan berbaur perkauman dan fitnah di Sekinchan.
Polis semalam mengesahkan menerima satu laporan berkaitan perkara itu.
Menjelas lanjut, Mohd Hashim berkata, melihat kepada perkataan-perkataan pada papan iklan itu, ia jelas boleh termasuk di bawah perbuatan yang menyalahi seksyen tersebut.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta peraturan kempen pilihan raya yang ditetapkan dan sebarang pelanggaran terhadapnya boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
“Berkempenlah secara bijaksana dan berhemah dengan menunjukkan semangat bertanding yang berlandaskan sikap saling menghormati sebagaimana ditunjukkan semasa hari penamaan calon tempoh hari,” katanya.
Sementara itu, polis mengesahkan telah menerima satu laporan berkaitan papan iklan berbaur perkauman dan fitnah yang dipasang di Sekinchan.
Pegawai Perhubungan Media Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi PRK Sungai Besar, ACP Khalil Ariffin berkata, pihaknya telah mengarahkan papan iklan itu diturunkan segera bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Laporan berkenaan telah dibuat orang awam di Balai Polis Sekinchan kira-kira pukul 4 petang dan siasatan sedang dijalankan bagi mencari pihak yang bertanggungjawab mendirikan papan iklan itu.
“Ingin saya ingatkan di sini sepanjang tempoh berkempen ini isu-isu sensitif melibatkan perkauman dan fitnah hendaklah dielakkan bagi menjaga sensitiviti kaum serta sebagai menghormati bulan Ramadan,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Khalil turut menasihatkan penyokong parti supaya tidak mengambil tindakan sendiri berhubung perkara sedemikian selama tempoh berkempen dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk bertindak.
Mengulas mengenai permit kempen, beliau berkata sehingga kini sebanyak 19 permit ceramah telah diluluskan polis.
PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN iaitu ADUN Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi; calon PAS yang juga ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan calon AMANAH, Azhar Abdul Shukur yang mewakili Pakatan Harapan.
– BERNAMA