Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya.
“PDRM berharap semua pihak menghormati hak privasi mangsa dan keluarga yang terlibat dan membenarkan proses pemulihan dijalankan tanpa sebarang gangguan,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau dalam masa yang sama mengesahkan sehingga kini tiada mangsa atau ahli keluarga mereka tampil membuat laporan polis terhadap Richard Huckle.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau ingin membuat laporan polis berhubung kes itu boleh menghubungi Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman di talian 03-22666297 atau emelkan kepada [email protected].
Semalam, Richard, 30, dijatuhi hukuman penjara seumur hidup selepas didapati bersalah terhadap 71 pertuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.
Hakim Mahkamah Old Bailey Peter Rook menjatuhi hukuman itu selepas lelaki dari Ashford, Kent itu mengaku mendera semua mangsa yang berusia antara enam bulan hingga 12 tahun.
Dia ditahan di Lapangan Terbang Gatwick pada Disember 2014 ketika pulang dari Malaysia untuk bercuti sempena Krismas.