Awas, geng hamper mula menyerang

Awas, geng hamper mula menyerang

Dalam tempoh lima minit, tiga penjenayah itu berjaya melarikan harta benda bernilai lebih RM10,000.

hampers

PETALING JAYA:
Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati terhadap geng hamper yang kembali aktif menjelang Aidilfitri.

China Press melaporkan modus operandi penjenayah ialah berpura-pura menghantar hamper ke rumah sebelum memasuki rumah mangsa untuk merompak.

Kejadian itu berlaku di sebuah rumah teres di Puchong Utama pada jam 12.30 tengah hari Isnin lalu.

Tiga penjenayah berbangsa India menaiki sebuah teksi berwarna biru ke rumah teres itu dengan seorang daripadanya berperanan sebagai pemandu, manakala dua lagi melakukan rompakan.

Siasatan awal polis mendapati, tiga penjenayah berbaju Melayu itu akan membawa hamper dan mendakwa mereka adalah saudara mangsa.

Seorang remaja Melayu berusia 17 tahun tanpa was-was membuka pintu untuk mereka, sebelum mangsa bersama adiknya dan pembantu rumahnya diugut dengan pisau serta diikat.

Dalam tempoh lima minit, penjenayah berjaya melarikan harta benda bernilai lebih RM10,000 termasuk dua bentuk cincin, dua utas rantai emas, empat gelang tangan, wang tunai serta kunci.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Supt Lee Swee Meng mengesahkan kejadian itu dan memberitahu tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di rumah terbabit.

Menurutnya, ketiga-tiga mangsa tidak cedera manakala wajah serta identiti penjenayah belum dikenal pasti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.