Polis kesan mangsa pedofil untuk beri sokongan psikologi

Polis kesan mangsa pedofil untuk beri sokongan psikologi

Mohmad Salleh berkata, hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap Richard setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

Datuk-Seri-Mohmad-Salleh--Richard-Huckle-

KUALA LUMPUR:
Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan mangsa pedofil warga Britain, Richard Huckle untuk diberi khidmat sokongan psikologi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, PDRM akan bekerjasama dengan Agensi Anti Jenayah Kebangsaan (NCA) United Kingdom serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memberi khidmat itu kepada mangsa.

“PDRM akan memberi bantuan dari segi khidmat sokongan psikologi serta bantuan yang diperlukan keluarga mereka (mangsa).

“PDRM memohon agar semua pihak memberi kepercayaan kepada pihak polis untuk melaksanakan tindakan yang terbaik demi kepentingan kanak-kanak terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, hukuman penjara seumur hidup yang dikenakan terhadap Richard setimpal dengan kesalahan yang telah dilakukannya.

“Menurut hakim yang menjatuhkan hukuman, Richard Huckle telah memusnahkan masa depan kanak-kanak yang menjadi mangsanya dan penghakiman sedemikian jarang dibuat dalam jenayah sebegitu serius melibatkan seorang pesalah,” kata Mohmad.

Lelaki warga Britain itu dihukum penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di London semalam kerana melakukan pencabulan seksual ke atas 23 kanak-kanak di Malaysia serta bayi dan kanak-kanak di Kemboja dalam tempoh hampir sedekad.

Reuters melaporkan Richard dijatuhi 22 hukuman penjara seumur hidup dan akan meringkuk dalam penjara sekurang-kurangnya 23 tahun atas jenayah yang dilakukannya terhadap mangsa yang berasal dari keluarga miskin.

Dia mengaku bersalah terhadap 71 pertuduhan dan polis menemui lebih 20,000 imej lucah kanak-kanak di dalam komputer dan kameranya ketika dia ditangkap di Lapangan Terbang Gatwick, London pada 2014.

Baru-baru ini, media Britain melaporkan jurugambar bebas itu mungkin telah mendera sehingga 200 kanak-kanak berusia enam bulan hingga 12 tahun dari 2006 hingga 2014.

Sebanyak 91 pertuduhan dikenakan terhadapnya dan kebanyakan mangsanya berasal dari keluarga miskin di Kuala Lumpur.

– BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.