PSM perlu giat berhubung dengan Melayu luar bandar

PSM perlu giat berhubung dengan Melayu luar bandar

Berdasarkan tinjauan di Sungai Siput, 85% daripada 136 keluarga Melayu di kampung hanya memperoleh pendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

Miskin-Luar-bandar-PSM

SHAH ALAM:
Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr D Michael Jeyakumar menggesa parti itu agar menggiatkan lagi usaha berhubung dengan golongan Melayu miskin di luar bandar.

Beliau mengakui buat masa ini, PSM tidak memiliki banyak pengalaman dan interaksi dengan golongan tersebut jika dibandingkan dengan golongan miskin di estet dan ladang.

“Kita perlu atasi sempadan ini jika kita mahu menjadikan parti untuk seluruh rakyat Malaysia,” katanya pada forum ‘Kemiskinan di kalangan orang Melayu – Analisis dan Penyelesaian’ sempena Kongres Parti Sosialis Malaysia (PSM) ke-18, hari ini.

Beliau berkata PSM boleh bermula dengan beberapa tempat di mana parti itu sudah bertapak, serta dengan kerjasama NGO.

“Mungkin kita boleh kerjasama dengan Cikgu Azmi (Mohd Azmi Abdul Hamid, presiden Teras Pengupayaan Melayu), dan selepas itu akan tambah lagi jaringan kita,” kata Ahli Parlimen Sungai Siput itu.

Katanya, berdasarkan tinjauan di kawasan Parlimen Sungai Siput, sebanyak 85% daripada 136 keluarga Melayu di perkampungan itu memiliki pendapatan isi rumah RM2,000 ke bawah.

Manakala 10 daripada 28 keluarga penoreh getah mendapat hasil getah daripada ladang yang disewakan dan bukannya milik sendiri.

Sementara itu, beliau menyifatkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah dasar yang baik dan berjaya mewujudkan golongan Melayu kelas pertengahan.

“DEB ada ciri-ciri sosialisme yang tidak percaya kepada pasaran selaku penyelesaian, serta memerlukan campur tangan kerajaan melalui tindakan afirmatif,” katanya.

Bagaimanapun, katanya dasar itu kini bukan lagi untuk golongan Melayu marhaen tetapi kontraktor Melayu dan menyebabkan golongan Melayu miskin terus terabai.

Beliau berkata, DEB patut diteruskan serta dibuka kepada golongan miskin kaum lain.

“DEB dasar yang baik dan patut diteruskan, tetapi perlu melibatkan kaum lain juga. Dan jika majoriti golongan miskin adalah Melayu, tentulah orang Melayu juga yang paling banyak mendapat manfaatnya. Solidariti di kalangan masyarakat juga akan bertambah baik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.