Tun M sah akan disiasat polis hari ini

Tun M sah akan disiasat polis hari ini

Siasatan dibuat atas kenyataan beliau Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berada di bawah 'tahanan rumah'.

mahathir_polis2_600

KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan akan disiasat polis hari ini susulan kenyataannya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu berada di bawah ‘tahanan rumah’.

Beliau menyatakan kesediaannya untuk disiasat dan memberi kerjasama kepada polis.

“Ya, polis akan siasat saya hari ini,” katanya ringkas kepada pemberita pada satu sidang media di Yayasan Al Bukhary Foundation, Taman Tasik Perdana.

Bagaimanapun, beliau tidak memberitahu lokasi dan waktu soal siasat polis akan berlangsung.

“Saya sentiasa takut,” selorohnya ketika mengulas sama ada takut atau tidak untuk disiasat polis.

Sebelum ini, sebuah portal pembangkang dipetik melaporkan polis dijadual merekodkan kenyataan Mahathir hari ini dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman akan menyoal siasat bekas perdana menteri itu di Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur pada jam 3 petang.

Pegawai berkenaan daripada pasukan khas yang mengendalikan kes berprofil tinggi.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan atas kesalahan memfitnah yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali.

Minggu lalu, Pengerusi Lembaga Penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim membuat laporan polis terhadap Mahathir.

Antara lain, beliau mendakwa kenyataan itu melulu dan menjatuhkan maruah dan integriti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum ini, bekas perdana menteri itu mendedahkan beliau tidak dapat bertemu Yang di-Pertuan Agong untuk menyerahkan sejuta tandatangan yang dikumpulkan dalam Deklarasi Rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.