Tangki Air Lily di Brinchang dalam bahaya

Tangki Air Lily di Brinchang dalam bahaya

Runtuhan di tanah tinggi itu boleh menyebabkan tangki air itu pecah dan membahayakan penduduk sekitar di Cameron Highlands.

Ramakrishnan_tangki-air_600

PETALING JAYA:
Tangki Air Lily di Brinchang dilaporkan dalam keadaan bahaya apabila hujan lebat yang turun baru-baru ini mengakibatkan runtuhan tanah pada lereng bukit tanah tinggi tersebut.

Runtuhan itu dikesan Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highland (REACH) hasil daripada tinjauan udara menggunakan dron baru-baru ini.

Presiden REACH R Ramakrishnan berkata runtuhan lereng bukit itu amat serius dan boleh menyebabkan tangki air tersebut runtuh atau pecah jika hujan lebat berlaku lagi di kawasan tanah tinggi itu.

Katanya, keadaan itu juga membahayakan penduduk tidak jauh dari kawasan bukit di Tangki Air Lily iaitu di Taman Jalan Kuari, Brinchang yang dihuni 15 hingga 20 keluarga.

“Apa yang kami temui ini amat mengejut dan membimbangkan. Saya difahamkan tanah di lereng bukit itu runtuh sedikit demi sedikit sejak dua tahun lalu tetapi runtuhan besar berlaku akibat hujan lebat baru-baru ini.

“Jika dibiarkan atau berlaku lagi hujan lebat, dibimbangkan tangki air ini akan runtuh atau pecah dan air melimpah sehingga ke kawasan perumahan berdekatan,” katanya memetik laporan eksklusif Utusan Malaysia.

Tangki Air Lily ialah milik Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dan menampung kapasiti sebanyak 400,000 gelen air.

Mengulas lanjut Ramakrisnan berkata, Tangki Air Lily merupakan sumber bekalan air utama untuk penduduk di Brinchang yang memperoleh bekalan disalurkan menerusi paip dari loji di Kuala Terla.

“Tangki Air Lily turut berfungsi meningkatkan tekanan untuk air yang disalurkan ke Tanah Rata. Jika tangki ini pecah, sudah tentu ia menjejaskan bekalan air kepada penduduk di Brinchang,” katanya.

Ramakrishnan berkata keadaan persekitaran tangki itu juga dilihat tidak dijaga dan diselenggarakan dengan baik.

“Walaupun tanah runtuh itu bukan berpunca daripada pencerobohan tanah haram, tindakan segera perlu diambil untuk mengelak kejadian buruk berlaku,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.