Parti politik tidak hargai orang sastera – Dinsman

Parti politik tidak hargai orang sastera – Dinsman

Sasterawan tempatan hanya dilibatkan dalam gelombang perubahan apabila mereka cenderung dan menyokong sesebuah parti politik.

Che-Shamsuddin-Othman
KUALA LUMPUR: Parti-parti politik di Malaysia dilihat tidak mengangkat kewujudan sastera sebagai suatu eleman yang boleh membantu gelombang perubahan negara.

Penulis isu sastera dan politik di Malaysia, Shamsudin Osman berkata, sasterawan di negara ini hanya dilibatkan dalam gelombang perubahan apabila mereka cenderung dan menyokong sesebuah parti politik.

“Di zaman era reformasi setiap malam saya dipanggil untuk membaca sajak. Bukan sebab mereka hargai sajak, tetapi disebabkan kita menyokong mereka,” katanya.

Shamsudin yang lebih dikenali sebagai Dinsman berkata demikian pada majlis pelancaran buku Hikayat Buyung Lurus dan forum bertajuk “Yang Berhormat vs Yang Berkhidmat: Korupsi & politik oportunis di Malaysia” semalam.

Malah, beliau yang aktif dalam Seniman Paksi Rakyat mengakui layanan sepi itu masih berlaku sehingga kini dan ia termasuk parti-parti pembangkang yang mentadbir beberapa negeri.

“Sikap ahli politik pembangkang sama sahaja, iaitu hendakkan kuasa. Selangor langsung tidak menghargai seni budaya termasuk PAS,” ujar beliau lagi.

Bagaimanapun, Dinsman berpandangan layanan berbeza diberikan bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Tok Guru Nik Abdul Aziz lain daripada orang politik pembangkang yang lain,” akui beliau.

Tambahnya, perkara ini berlaku apabila penggiat sastera sendiri dilihat mengangkat ahli politik sehingga menyebabkan orang-orang sastera dipinggirkan.

“Salah orang budaya juga kerana mengangkat orang politik. Kita sendiri yang memberikan peluang. Mereka (ahli politik) hanya mahu kuasa,” ujarnya.

Kata Dinsman lagi, sejarah kebangkitan orang Melayu di Malaysia tidak bermula dengan politik, sebaliknya ia bermula dengan orang budaya seperti yang dilakukan oleh Zainal Abidin Ahmad (Za’ba).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.