Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, Ahmad Nizam Mohd Amin berkata, tiga sub-stesen bekalan kuasa iaitu di Sungai Besi, Bukit Jalil dan Bandar Tasik Selatan dilaporkan terjejas.
“Perkhidmatan LRT antara Stesen Cheras dan Sri Petaling tergendala dari jam 6.24 petang manakala pengguna LRT di antara Stesen Awan Besar dan Bandar Puteri mengalami masa menunggu tren yang lebih lama”, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ujarnya, semua tren terhenti di platform dan penumpang telah dikeluarkan manakala satu tren terkandas di berhampiran stesen Bukit Jalil. Semua 220 penumpang yang berada dalam tren berkenaan telah berjaya dievakuasi sepenuhnya pada jam 8.15 dan tiada kecederaan dilaporkan.
Kata Nizam, Rapid KL menerusi Rapid Bus Sdn Bhd telah menyediakan bas untuk mengangkut pengguna yang terkandas bagi meneruskan perjalanan ke destinasi mereka. Namun berlaku kelewatan perjalanan akibat pokok tumbang yang menghalang lalulintas.
Bagaimanapun, perkhidmatan LRT dilaporkan pulih sepenuhnya pada jam 9 malam.
“Kami ingin memohon maaf diatas kesulitan yang dialami oleh pengguna akibat insiden yang tidak dijangka”, jelasnya.