Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Jamalullail juga tidak menolak kemungkinan calon itu ditaja oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi memecahkan undi BN.
“Saya dapat maklumat dia akan bertanding dan akan ditaja oleh kumpulan Tun Mahathir bagi memecahkan undi dan beri kekalahan kepada UMNO.
“Pemimpin itu juga bukan ikhlas dan dia bertanding hanya kerana dendam kepada bekas partinya dan membawa agenda Tun Mahathir bersama kumpulan Deklarasi Rakyat untuk mengalahkan BN di Kuala Kangsar,” katanya dalam satu wawancara eksklusif dengan FMT di kediamannya hari ini.
Selain Syed Rosli yang ingin bertanding sebagai calon Bebas di PRK Kuala Kangsar, BN dan PAS juga telah mengumumkan calon mereka.
BN sebelum ini mengumumkan balu Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, Datin Mastura Yazid sebagai calon mereka dan Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad diumum sebagai calon PAS bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar.
Sementara itu Syed Rosli juga berpandangan UMNO kini dilihat telah gagal dalam membela nasib orang Melayu.
Katanya, disebabkan itu juga telah wujudnya pecahan dalam Melayu dan terbentuk kumpulan-kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) Melayu.
“Misalnya, wujudnya Pertubuhan PriBumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Mereka ini majoriti Melayu dan saya percaya kebanyakan mereka sebelum ini adalah ahli UMNO.
“Kenapa mereka sertai PERKASA, ini kerana mereka kecewa dengan UMNO yang gagal membantu bangsa mereka dari segi ekonomi dan pendidikan. Saya juga lihat UMNO juga gagal dalam menangani tekanan seperti hak-hak orang Melayu dan hak orang Islam dicabar serta Institusi Raja-Raja Melayu tidak dihormati,” katanya.
