Ahmad Bashah berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perkara tersebut, selain menyifatkannya hanya sekadar khabar angin biasa.
“Tak ada perkara seperti itu…dan saya pun tidak tahu…tak terima cadangan, jumpa pun tidak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Biro Kebajikan Umno ke Kedah.
Menteri Besar mengulas dakwaan kononnya beliau sudah menerima nama calon yang akan menggantikan Leong, memandangkan hanya satu kuota exco kerajaan negeri diperuntukkan kepada MCA.
Leong yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Gurun dalam satu sidang media di Sungai Petani baru-baru ini mengumumkan akan keluar dari MCA kerana tidak berpuas hati dengan pembentangan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan 2010) di Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan jawatannya sebagai anggota exco dan menyerahkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Liow Tong Lai untuk menggantikannya (sebagai timbalan pengerusi MCA Kedah).
Menyifatkan masalah itu sebagai masalah keluarga, Ahmad Bashah berkata Leong berkemungkinan kurang mendapat maklumat mengenai sesuatu perkara hingga menyebabkan beliau bertindak mahu keluar parti.
“Oleh itu saya luluskan cuti beliau selama dua minggu dan beri dia tempoh bertenang. Kita percaya perkara ini boleh diselesaikan dengan cara baik bersama MCA,” katanya.
Ahmad Bashah berkata, isu kononnya MCA dipinggirkan dan hanya menjadi ‘sleeping partner’ dalam Barisan Nasional juga tidak seharusnya timbul.
Menteri Besar itu berkata beliau sering mengadakan mesyuarat bersama parti-parti komponen.
“Semua ada dalam mesyuarat tiada yang terpinggir,” katanya.
– BERNAMA