Beliau menyifatkan tindakannya itu hanyalah pengorbanan kecil berbanding mesej penting yang ingin disampaikan kepada pucuk pimpinan parti.
Tegasnya, BN perlu mengubah cara mereka berpolitik dengan tidak mengamalkan kronisme dan nepotisme.
“Kita lihat calon yang BN pilih (Datin Mastura Mohd Yazid), bagi saya ia hanya meneruskan legasi wakil rakyat terdahulu, di mana tidak beri ruang dan peluang kepada pemimpin UMNO lain.
“Ini ibarat memperlekehkan orang-orang tempatan di Kuala Kangsar yang berkemungkinan layak jadi calon. Sedangkan Datin Mastura bukan orang Kuala Kangsar dan dia orang luar. Kenapa tidak diberi peluang kepada anak tempatan Kuala Kangsar sendiri bertanding,” katanya kepada FMT.
Syed Rosli berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memberi amaran keahliannya akan gugur secara automatik sekiranya beliau meneruskan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar.
Dalam pada itu, Syed Rosli mengakui peluang untuk beliau memenangi PRK Kuala Kangsar agak sukar berbanding calon BN dan PAS.
Bagaimanapun, beliau berjanji akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati rakyat dan akan berjuang habis-habisan sepanjang tempoh berkempen bagi mengelakkan kehilangan depositnya.
“Walaupun saya bukan ahli UMNO, saya akan teruskan perjuangan dan akan mendekati pengundi di sana dari segi isu-isu rakyat,” katanya.
Buat masa ini, beliau belum mempunyai perancangan untuk menyertai mana-mana parti sekiranya dipecat UMNO.
“Saya akan terus berjuang untuk rakyat dan ingin memastikan tidak berlaku keadilan dalam sistem manusia dan sistem politik,” katanya.
Syed Rosli hari ini mengumumkan dirinya akan bertanding sebagai calon Bebas pada PRK Kuala Kangsar.
Keputusan itu diambil kerana Syed Rosli kecewa dengan tindakan BN menurunkan Mastura di kerusi Parlimen itu pada 18 Jun nanti.
