Mastura yang dipetik China Press menjelaskan, mengikut hukum Islam, wanita Muslim yang kematian suami tidak boleh keluar rumah dan berjumpa orang lain dalam tempoh idah selama empat bulan 10 hari, kecuali untuk mendapat rawatan jika sakit, membeli makanan atau bekerja.
Justeru, beliau masih menunggu nasihat ustaz untuk mengetahui jika berkempen tergolong dalam kategori bekerja yang akan membolehkan beliau keluar dari rumah, termasuk untuk menghadiri hari penamaan calon pada Ahad ini.
Selepas diumumkan sebagai calon BN pada Sabtu lalu, Mastura belum keluar dari rumah untuk berjumpa pengundi mahupun media.
Ahad lalu, Mastura memohon maaf kepada seluruh jentera parti itu kerana tidak dapat menyertai kempen yang dijadualkan bermula 5 Jun ini kerana masih dalam tempoh idah.
Walaupun bukan anak tempatan, Mastura cukup dikenali di kalangan masyarakat setempat di Kuala Kangsar sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja tanpa membezakan fahaman politik.
Ini kerana menurut penduduk tempatan, Mastura yang berasal dari Negeri Sembilan sering menemani arwah suaminya apabila berjumpa dengan rakyat atau menghadiri sebarang majlis, malah pasangan itu tidak pernah lupa meluangkan masa menjenguk dan memberikan bantuan kepada penduduk bermasalah.
Ibu kepada empat anak itu juga pernah bergiat dalam dunia politik dan menjadi Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Chembong, Negeri Sembilan sebelum mengambil keputusan untuk berehat dan menumpukan perhatian kepada keluarga serta arwah suaminya.
Mastura dijangka berdepan saingan daripada calon PAS yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad serta Syed Rosli Jamalullail, Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka yang telah mengumumkan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen itu.
