
Naim, 32, yang menang di Kinabatangan berkata pengundi kini lebih menilai seseorang calon dari segi personaliti dan kemampuan bekerja, berbanding parti.
Beliau menyorot perhatian ke Sabah, mengatakan kira-kira 58% pengundi di sana berumur 40 tahun ke bawah dan berpotensi meningkat sehingga 65% dengan kemasukan pengundi baharu berusia 18 tahun.
“Kalau kita boleh tarik sokongan pengundi muda dengan strategi yang betul, termasuk media sosial, peluang BN sangat cerah,” katanya kepada FMT.
“Calon muda sangat perlu tapi bukan sekadar muda — mereka mesti bekerja, turun kawasan, jumpa rakyat dan boleh beri perkhidmatan.”
Naim berpandangan, BN perlu ketengahkan pemimpin muda lebih awal supaya dikenali pengundi, dengan sokongan dari segi sumber dan pendedahan.
“Wajah baharu ini orang belum kenal. Politik pula mahal. Kalau kemampuan peribadi mereka terhad, parti perlu bantu dari awal,” katanya, dan menambah Umno Sabah sejak awal menegaskan keperluan menampilkan calon muda.
Mengakui ramai pemimpin muda BN kecundang pada PRN November lalu, kecuali Ketua Pemuda Umno Lahad Datu, Anil Sandhu yang menang di DUN Kunak, Naim berkata kegagalan itu berpunca daripada kelemahan gerak kerja dan sentimen terhadap parti nasional ketika itu.
“Dulu mungkin ada penolakan terhadap parti nasional, tapi sekarang rakyat lebih melihat siapa yang boleh bekerja dan membawa suara mereka,” katanya.
PRK Sabtu lalu menyaksikan Naim menewaskan dua pencabar, Saddi Abdul Rahman daripada Warisan dan calon bebas Goldam Hamid, dengan kelebihan 14,214 undi. Pada PRU15, Parlimen Kinabatangan dimenangi Bung Moktar Radin dengan majoriti 4,330 undi.
BN turut mempertahankan DUN Lamag menerusi Ismail Ayob, 45, dengan majoriti 5,681 undi, mengatasi 153 undi pada PRN.