Tak setuju hudud, sila letak jawatan, kata Perkasa

Tak setuju hudud, sila letak jawatan, kata Perkasa

Tiga pemimpin parti komponen BN mengugut untuk meletakkan jawatan jika pelaksanaan hudud diluluskan di Dewan Rakyat.

Dr-Amini-Amir-Abdullah
PETALING JAYA: Kumpulan pendesak Melayu, Perkasa mencabar pemimpin bukan Islam dalam parti komponen BN meletakkan jawatan serta-merta jika tidak bersetuju dengan usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 yang dibawa PAS.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Perkasa Dr Amini Amir Abdullah berkata demikian susulan ugutan dibuat pemimpin parti komponen BN pada hujung minggu lalu yang berikrar akan melepaskan jawatan Kabinet masing-masing jika RUU itu diluluskan.

Ini termasuk Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, Presiden MIC (Menteri Kesihatan) Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Presiden Gerakan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Mah Siew Keong.

“Perkasa mengalu-alukan sesiapa yang tidak menghormati hak orang Islam dan Islam sebagai agama rasmi negara supaya meletakkan jawatan dalam kerajaan.

“Hanya mereka yang menghormati asas Perlembagaan Persekutuan dan majoriti perlu berada dalam kerajaan,” kata Amini dipetik daripada Malay Mail Online.

Ketiga-tiga pemimpin terbabit membantah RUU yang dibentangkan di Parlimen pada Khamis lalu, yang bertujuan membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan sebagai tidak “berperlembagaan”.

RUU itu pada awalnya tersenarai sebagai perkara terakhir dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tetapi mendapat kebenaran untuk dipercepatkan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said mencadangkan ia dibentangkan pada hari terakhir sidang Parlimen bagi sesi Mei.

Amini berkata, dengan membuat ugutan untuk berhenti daripada Kabinet kerana hudud, tiga pemimpin terbabit juga sebenarnya mengugut Yang di-Pertuan Agong yang memainkan peranan sebagai ketua agama Islam dalam negara.

Beliau juga menuduh mereka berpakat dengan parti pembangkang DAP untuk menghentikan RUU yang dikatakan akan memberi manfaat kepada umat Islam itu.

“Sebarang ancaman kepada kerajaan Malaysia menyentuh Islam ialah penghinaan dan tidak menghormati kedaulatan Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua agama Islam.

“Perkasa berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan kekal tegas mengenai RUU itu,” katanya.

Walaupun matlamat PAS membentangkan RUU itu di Dewan Rakyat tercapai, presiden parti Islam itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menangguhkan usul berkenaan pada sidang Parlimen pada Oktober untuk dibahaskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.