Ketua menteri Melaka kemalangan

Ketua menteri Melaka kemalangan

Kereta dinaiki beliau bersama pemandu dan pengawal peribadi melanggar belakang sebuah kereta yang dikatakan secara tiba-tiba mengubah laluan.

Idris-Haron_kemalangan_600

MELAKA:
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan kecil di KM 268 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan berhampiran Kawasan Rehat Seremban, hari ini.

Dalam kejadian 6.50 petang itu, kereta dinaiki Idris bersama pemandu dan pengawal peribadinya melanggar belakang sebuah kereta yang dikatakan secara tiba-tiba mengubah laluan.

Idris, dalam kenyataan menerusi ‘Whatsapp’ malam tadi berkata ketika kejadian, beliau dalam perjalanan pulang ke Melaka selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Beliau berkata ketika tiba di tempat kejadian sebuah kereta tiba-tiba mengubah laluan tetapi pemandunya sempat membrek tetapi gagal mengelak lalu melanggar bahagian belakang kereta tersebut.

Menurutnya, selepas kemalangan itu, beliau menyambung perjalanan dengan menaiki sebuah lagi kereta dipandu pegawai lain dan sempat menghadiri majlis jamuan malam sempena pelantikan Tun Mohd Khalil Yaakob sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal keempat di sini.

BERNAMA

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.