Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Sulaiman Salleh yang dipetik Sin Chew Daily berkata, suspek yang berusia hampir 30-an itu ditahan ketika bekerja di restoran makanan segera terbabit pada jam 10.35 malam semalam.
Menurutnya, kes itu hanya disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 354 akta sama (mencabul), kerana suspek gagal merogol mangsa dan ia tidak boleh menjadi satu kesalahan.
Kejadian itu berlaku pada jam 6.10 pagi 20 Mei lalu, apabila mangsa sedang membetulkan rambut di hadapan sinki luar tandas restoran makanan segera terbabit, sebelum didatangi seorang lelaki yang tiba-tiba menggunakan tangannya untuk menutup mulut mangsa dan cuba mengheretnya ke dalam tandas OKU.
Menurut laporan China Press semalam, suspek kemudiannya memukul kepala wanita itu dan menghentak kepalanya ke dinding dalam cubaan untuk melemahkan mangsa.
Wanita itu sempat menyelamatkan diri, tetapi lebam di bahagian muka dan badan, manakala suspek pula berjaya melarikan diri dengan menyamar sebagai pekerja restoran makanan segera itu.
Baca juga: Wanita nyaris dirogol dalam tandas restoran makanan segera
