Sehubungan itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, kehadiran Mahathir di PRK Kuala Kangsar adalah satu kelebihan buat BN kerana tiada rakyat yang mempercayai Mahathir lagi.
“Ini adalah sebuah negara bebas serta demokratik dan Mahathir bebas pergi ke mana sahaja yang beliau mahu.
“Kami sangat gembira jika beliau datang ke Kuala Kangsar. Saya tak rasa beliau akan dapat menarik banyak undi tetapi saya rasa orang hanya tidak suka kehadirannya di sana dan akan mengundi kami. Ini perkara baik.
“Beliau sudah hilang kredibilitinya,” katanya di lobi Parlimen hari ini.
Kelmarin, bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilaporkan berkata, Mahathir ‘sah’ akan berkempen menentang BN di kawasan Parlimen Sungai Besar.
Semalam, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dilaporkan sebagai berkata, pergerakan itu tidak gentar jika Mahathir berkempen untuk parti pembangkang pada PRK bulan depan.
Tambah Menteri Belia dan Sukan itu lagi, jentera Pemuda UMNO sama sekali “tidak akan menari mengikut rentak pembangkang” sepanjang tempoh berkempen kerana jika mereka “obses” terhadap pihak lawan, ia akan mengganggu parti itu.
Tambah Khairy lagi, prinsip BN adalah bertanding dan menang atas kekuatan sendiri, bukan kerana kelemahan lawan.
