MCA, MIC tiada masa depan jika keluar BN, kata Nazri

MCA, MIC tiada masa depan jika keluar BN, kata Nazri

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno berkata pemikiran rasional perlu mengatasi emosi untuk merangka jalan bagi kedua-dua parti kekal relevan bawah BN.

Nazri Aziz berkata MCA dan MIC perlu mencari cara untuk mendapatkan semula sokongan akar umbi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
MCA dan MIC tiada masa depan di luar Barisan Nasional (BN), kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Nazri Aziz.

Nazri berkata kedua-dua komponen BN itu berada dalam kedudukan ‘tidak menguntungkan’ dengan pilihan yang ada menjelang PRU16, sama ada menyertai Perikatan Nasional (PN) atau bergerak solo.

“Mana-mana pilihan pun boleh dianggap bunuh diri. Ia akan menjadi ‘game over’ bagi mereka. Kedua-dua parti itu sehingga tahap tertentu, pernah bergantung kepada Umno untuk sokongan dalam pilihan raya lalu.

“Dan walaupun mereka berjaya membawa undi kaum Cina dan India kepada BN, ia tidak begitu ketara sekarang,” katanya kepada FMT.

Beliau menambah, jika bertindak bersendirian, MCA dan MIC berisiko kehilangan semua kerusi mereka, termasuk di kawasan kuat mereka manakala menyertai PN yang dipimpin PAS juga tidak akan menguntungkan kedua-dua parti itu.

Nazri mengulas gesaan Presiden Umno Zahid Hamidi supaya MCA dan MIC memberi tumpuan kepada BN.

Zahid bagaimanapun mengakui bahawa keputusan menyertai Pakatan Harapan dalam membentuk kerajaan perpaduan telah menjejaskan hubungan antara komponen BN.

Umno, MCA dan MIC adala pengasas Parti Perikatan sebelum merdeka, yang kemudiannya menjadi BN pada tahun 1973.

MCA dan MIC didakwa sedang mempertimbang untuk keluar dari BN kerana merasakan diri mereka diketepikan oleh Umno sejak pembentukan kerajaan perpaduan.

Minggu lalu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan berkata parti itu hanya akan membuat keputusan mengenai masa depannya dalam BN selepas Thaipusam, yang jatuh pada 1 Februari.

Presiden MCA Wee Ka Siong, pula berkata parti itu akan menilai semula kedudukannya dalam BN sekiranya Umno bertegas meneruskan kerjasama dengan parti lain di luar gabungan, khususnya DAP, pada pilihan raya umum akan datang.

Nazri berkata dalam keadaan ini, pendekatan rasional perlu mengatasi emosi untuk merangka langkah supaya MCA dan MIC kekal relevan dalam BN.

“BN adalah satu-satunya rumah mereka. Mereka perlu mengadakan perbincangan yang lebih jujur daripada membuang masa dengan emosi. Realitinya, mereka telah kehilangan sokongan akar umbi yang ketara.

“Fikirkan cara untuk mendapatkan kembali sokongan itu daripada terlalu obses dengan DAP, yang kini memonopoli sokongan kaum Cina,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.