Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Abd Ghafar Yusof berkata, tindakan menyaman pengguna semata-mata atas kesalahan yang dilakukan tidak cukup untuk memberikan pengajaran kerana mereka disifatkan masih boleh melangsaikan saman berkenaan.
“Kita menyedari pemandu yang disaman atas pelbagai kesalahan mampu membayar saman terbabit, tetapi mereka tidak pernah belajar daripadanya dan sering mengulangi perbuatan tersebut.
“Oleh itu, kami berharap apabila sistem ini diperkenalkan semula, ia memberi lebih banyak kesedaran kepada pengguna jalan raya,” katanya selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya bersama Kolej Komuniti Ledang Johor hari ini.
Abd Ghafar berkata, beberapa penambahbaikan telah dibuat ke atas sistem itu bagi memberi impak berkesan terhadap usaha mendidik pengguna jalan raya.
Penambahbaikan itu termasuk menggabungkan sistem itu dengan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang mana penggabungan itu akan membolehkan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) dilaksanakan semula, seperti mana dicadangkan Kementerian Pengangkutan.
“Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membolehkan pelaksanaan AWAS akan dibentang di Parlimen dan jika tiada halangan ia akan dilaksanakan tahun ini,” katanya.
Abd Ghafar berkata, penambahbaikan lain berhubung sistem itu ialah mata demerit pemandu yang telah menjelaskan bayaran saman tidak akan dikurangkan.
Sebaliknya, mata demerit itu akan dikumpul sehingga lesen memandu seseorang itu digantung.
“Selain itu, kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu juga adalah antara kesalahan utama baru yang akan dimasukkan dalam sistem KEJARA memandangkan ia kerap dilakukan pengguna jalan raya,” katanya.
Sistem KEJARA pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini namun dihentikan sementara disebabkan pelbagai reaksi daripada masyarakat dan pemimpin.
– BERNAMA