
Pakar pengangkutan, Gary Foong, bimbang inisiatif pengecaman nombor plat automatik (ANPR) akan menjadi projek terasing tanpa penyelarasan agensi berkaitan, yang akhirnya mengundang risiko pembaziran dana awam.
“Sebarang langkah ke hadapan mestilah berpaksikan integrasi nasional, bukan sekadar eksperimen kementerian yang terasing atau mana-mana individu politik,” katanya kepada FMT.
PLUS melaksanakan projek rintis ANPR bagi kenderaan persendirian di jajaran Hutan Kampung–Sungai Dua di Lebuhraya Utara-Selatan, sejak Januari, yang membolehkan pengguna berdaftar memasuki dan keluar melalui mana-mana lorong di sembilan plaza tol, meliputi jarak 87.7km.
Pada 28 Jan lalu, Menteri Loke Siew Fook mengumumkan Kementerian Pengangkutan sedang mengusahakan integrasi ANPR dengan pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan tanpa perlu memberhentikan kenderaan.
Foong menyifatkan perkembangan itu sebagai pelan pendigitalan bercita-cita tinggi, lalu menyeru kerajaan mengambil iktibar daripada sistem penguatkuasaan automatik (AES).
“Setiap kali dasar berubah di tengah pembangunan, ia melibatkan kerugian jutaan ringgit wang pembayar cukai yang digunakan,” katanya.
Pada Ogos 2018, kerajaan mengumumkan JPJ mengambil alih sepenuhnya AES selepas memutuskan untuk tidak menyambung kontrak dengan dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.
Pengambilalihan itu turut menyaksikan kerajaan membatalkan 3.1 juta saman AES yang belum dibayar — membabitkan RM435 juta — kerana tidak bersetuju penguatkuasaan diswastakan kepada dua syarikat berkenaan.
Dalam pada itu, Foong menegaskan kegagalan penyelarasan tidak seharusnya berlaku, dan menyeru rundingan mendalam dengan persatuan industri yang terkesan, seperti Persatuan Haulier Malaysia.
“Sebagai contoh, salah guna kereta penumpang di petak parkir kenderaan komersial di R&R terus menjadi masalah yang tidak berkesudahan tanpa sebarang tindakan penguatkuasaan daripada pihak terlibat. Sehingga kini, rakyat tetap keliru, siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab? Adakah JPJ, polis, atau operator lebuh raya?
“Jika masalah fundamental seperti ini pun masih ketiadaan SOP yang jelas dan bersepadu, bagaimanakah sistem ANPR yang jauh lebih kompleks boleh dijamin keberkesanannya?” katanya.
Data perlu tepat, plat harus standard
Sementara itu, Wan Agyl Wan Hassan berpandangan integrasi ANPR dengan pangkalan data JPJ membolehkan semakan dilakukan secara automatik dan lebih efisien.
“Namun yang demikian, sistem ini hanya berkesan jika data tepat, nombor plat mematuhi standard dan isu privasi diurus dengan jelas,” katanya.
Wan Agyl menyarankan penguatkuasaan berasaskan teknologi dilaksanakan secara hibrid buat peringkat awal, dengan kehadiran pegawai penguatkuasa di kawasan terpilih bagi menangani kes plat palsu dan kegagalan membaca plat.
Rosli Azad Khan pula menyifatkan integrasi itu selaras langkah di negara maju, di mana penguatkuasaan berjalan secara berterusan di atas jalan raya yang lancar.
“Sebaiknya semua kenderaan diintegrasikan di dalam sistem ANPR ini termasuk motosikal, yang banyak terlibat dalam kemalangan jalan raya,” katanya.