Majistret, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu kepada Shahrul Anuar Abdul Aziz selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.
“Tertuduh dijatuhkan hukuman penjara empat bulan dan tambahan satu bulan penjara jika gagal membayar denda RM1,000,” katanya.
Terdahulu, peguam Shaharudin Ali dalam hujahnya berkata, anak guamnya melakukan jenayah itu akibat tertekan.
“Telefon bimbit dan barang kepunyaannya dicuri pada hari itu (11 Julai 2015),” katanya.
Menurut Shaharudin, walaupun anak guamnya telah melakukan kesalahan tetapi dia tidak mencederakan sesiapa pun.
“Ia bukan satu kesalahan serius dan telefon bimbit itu hanya berharga RM800.
“Dia kini berusia 23 tahun dan kami berharap mahkamah akan memberi dia peluang untuk kembali kepada masyarakat.
“Shahrul kini mengambil satu kursus teknikal di Akademi Binaan,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, S Malini Anne berkata, kecurian bukan kesalahan kecil.
“Tindakannya mencuri telefon bimbit itu telah menyebabkan pergaduhan antara kaum berlaku di sekitar Low Yat.
“Dia juga bukan pesalah kali pertama kerana pernah didenda atas penyalahgunaan dadah sebelum ini,” katanya.
Shahrul Anuar didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri telefon pintar di Plaza Low Yat pada 14 Julai 2015.
