Kes penderaan itu berlaku pada 28 Jun hingga 1 Julai 2014 bertempat di sebuah rumah pangsa di Jurong West Street, Singapura.
Tertuduh yang merupakan seorang wanita berusia 64 tahun dan berasal dari China itu berdepan tiga pertuduhan, iaitu mendera pembantu rumah warga Myanmar yang berusia 30 tahun sebanyak tiga kali dalam tempoh empat hari.
Tertuduh yang memiliki pas pelawat jangka panjang untuk menjaga anak perempuannya sekeluarga di Singapura, pagi tadi mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman selama seminggu.
Dia akan dihantar pulang ke China selepas menjalani hukuman penjara itu.
Ketika kejadian, pembantu rumah terbabit baru empat hari bekerja di rumah anak tertuduh dan disebabkan tidak berpuas hati dengan kerja wanita berkenaan, warga emas itu meminta anaknya menghantar mangsa balik ke agensi pembantu rumah.
Pada 1 Julai 2014, pekerja asing terbabit bertindak melutut di hadapan tertuduh untuk memohon maaf, sebelum dia dihantar pulang ke agensi pembantu rumah itu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berang kerana berpendapat pembantu rumah itu sedang “menyembah nenek moyang” bertindak menendang gigi hadapan mangsa dengan lututnya.
Ekoran itu, mangsa yang mengalami sakit gigi bertindak mengadu kepada agensi pembantu rumah.
Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan dan doktor mendapati bibir mangsa bengkak dan gigi hadapannya longgar serta memerlukan tiga hingga lima tahun untuk memantau keadaan gigi hadapan mangsa.
Mengikut kertas pertuduhan, warga emas itu mula mendera mangsa sejak hari pertama beliau bekerja dengan menumbuk mulut mangsa sehingga menyebabkan gigi hadapannya berdarah.
Peguam tertuduh berhujah yang tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Singapura mahupun China dan dia bersama suaminya pergi ke Singapura untuk membantu anaknya menjaga cucu.