Pusat pemulihan mewah bergaya resort di Chiang Mai

Pusat pemulihan mewah bergaya resort di Chiang Mai

Pusat pemulihan yang ditubuhkan pada 2009 itu mendakwa boleh membantu penagih dadah, alkohol, tahi judi, seks dan Internet mengatasi ketagihan mereka.

rehab
PETALING JAYA: Sebuah pusat pemulihan mewah bergaya resort yang dibina di utara Thailand menawarkan rawatan kepada individu yang mengalami bermacam-macam ketagihan pada harga USD14,000 atau RM56,000.

Dinamakan The Cabin Chiang Mai, pusat pemulihan yang ditubuhkan pada 2009 itu mendakwa boleh membantu penagih dadah, alkohol, seks, Internet dan tahi judi mengatasi ketagihan mereka.

Jurucakap pusat pemulihan itu yang dipetik China Press sebagai berkata, seramai 253 warga Singapura menerima rawatan dalam tempoh lima tahun ini.

Daripada jumlah itu, 89% terdiri daripada pekerja kolar putih termasuk 12% pengamal perundangan dan 3% kakitangan perubatan dengan 40% daripadanya adalah kakitangan peringkat pertengahan manakala 32% lagi adalah pegawai atasan.

Menurut maklumat di laman sesawang itu, lebih 80% pesakitnya berjaya dipulihkan.

Pusat pemulihan itu dilengkapi 72 katil dengan setiap pesakit mempunyai bilik sendiri dan katil bersaiz besar.

Kemudahan dan perkhidmatan lain termasuk kolam renang, jurulatih persendirian, perkhidmatan mengurut, sesi rawatan perseorangan dan hidangan bufet dengan sarapan orang Inggeris, manakala makan tengah hari dan malam pula terdiri daripada masakan Itali, Mexico dan Cina.

Seorang pekerja di pusat pemulihan itu, Tony Tan berkata, rawatan lengkap memerlukan 90 hari dengan 60% pesakit akan tinggal di pusat berkenaan selama tiga bulan.

Selain pusat pemulihan di Chiang Mai terbabit, akhbar berbahasa Cina itu turut melaporkan Sabah juga mempunyai sebuah pusat pemulihan mewah yang dinamakan Solace Sabah.

Empat bulan pertama tahun ini, seramai 29% warga Singapura mendapatkan rawatan di pusat berkenaan, mereka terdiri daripada doktor, peguam, penjawat awam, akauntan dan pengurus.

Bayaran yang dikenakan antara SGD9,500 (RM28,000) hingga SGD19,000 (RM56,000).

Menurut laporan China Press, kebanyakan penagih di Singapura mendapatkan rawatan di luar negara kerana khuatir ditangkap pihak berkuasa, selain mahu privasi.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.