Perkara itu disahkan apabila tiga kenderaan SPRM tiba di hadapan rumah Guan Eng kira-kira jam 3.15 petang ini.
Ekoran itu, pegawai-pegawai tersebut didapati memasuki kediaman berkenaan.
Sebelum ini, Guan Eng dan isterinya, Betty Chew dilaporkan berada di pejabat SPRM negeri di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini, sebelum meninggalkan premis itu pada jam 2.55 petang.
Menurut laporan akhbar Berita Harian, pegawai SPRM itu hadir berkaitan siasatan isu pembelian banglo yang dikaitkan dengan skandal penjualan tanah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Manggis Fasa Dua di Jalan Zainal Abidin.
Penasihat Undang-Undang Ketua Menteri, Gobind Singh Deo dan peguam, RSN Rayer turut dilihat berada di banglo berkenaan.
Pegawai SPRM dilihat meninggalkan kediaman Ketua Menteri Pulau Pinang itu kira-kira jam 4 petang tadi.
Bagaimanapun usaha FMT menghubungi pejabat Ketua Menteri untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.
