Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dakwaan itu juga merupakan satu kempen fitnah yang terancang terhadap kerajaan serta kakitangan awam di Selangor.
“Ini merupakan satu tuduhan jijik yang tidak disokong oleh sebarang bukti. Dalam melaksanakan serangan jahat dan semberono ini, orang yang menuduh sebenarnya telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri.
“Ia juga sekaligus menafikan sumbangan majlis eksekutif yang telah menyumbang dengan cekap dan bertukus-lumus kepada usaha Kerajaan Negeri membawakan pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi pada negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan aplikasi WhatsApp yang menunjukkan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli menerima aduan berhubung “permintaan perempuan” ketika berurusan dengan kerajaan Selangor yang tersebar semalam.
Dalam perbualan kumpulan WhatsApp ‘SOLIDARITY FOR ANWAR’ itu, Rafizi dikatakan sedang mengumpul maklumat berkaitan dakwaan itu dan “ada hadnya sebelum buat expose (pendedahan) mengenai parti sendiri”.
Bagaimanapun, Rafizi enggan mengulas mahupun menafikan keabsahan perbualan dalam kumpulan WhatsApp itu.
Mengulas lanjut Azmin turut mengalu-alukan pihak yang mempunyai bukti untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Sikap kita amat jelas. Pentadbiran ini mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah.
“Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekalipun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor-PKR, Elizabeth Wong berkata beliau tidak mengetahui mengenai spekulasi atau dakwaan yang tersebar itu.
Katanya, kerajaan negeri Selangor telah berusaha sebaik mungkin dalam menangani masalah rasuah kerana mempunyai 10 jawatankuasa integriti dalam Majlis Tempatan untuk memantau pegawai perkhidmatan awam dalam menjalankan tugas.