Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, pesawat yang membawa 30 penumpang dan empat kru itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang pada jam 7.39 malam Selasa.
“Selepas beberapa minit berlepas, pihak lapangan terbang menerima panggilan daripada individu tidak dikenali.
“Individu berkenaan memberitahu terdapat bahan letupan di dalam pesawat itu dan menara kawalan mengarahkan pesawat berkenaan berpatah balik,” katanya yang dilaporkan BERNAMA ketika ditemui di lokasi kejadian semalam.
Beliau berkata, pesawat itu mendarat di lapangan terbang tersebut dan ditempatkan di kawasan khas sebelum diperiksa unit bom polis.
Katanya, hasil pemeriksaan kira-kira tiga jam mendapati tiada bom ditemui.
Sementara itu, Sin Chew Daily memetik Mohd Zaini sebagai berkata, pesawat terbabit membuat pendaratan cemas di Subang pada jam 8.20 malam, selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan terdapat bom dalam pesawat itu kira-kira jam 8 malam.
Jelasnya, lelaki yang fasih berbahasa Melayu dan Inggeris itu membuat dua panggilan.
Selepas panggilan pertama terputus, suspek itu bertindak membuat panggilan kedua untuk memaklumkan terdapat bom di dalam pesawat.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan polis sedang mengesan lelaki yang membuat panggilan palsu itu.
Menurutnya, semua penumpang terbabit menaiki pesawat lain milik syarikat penerbangan sama menuju Singapura kira-kira jam 11.40 malam tadi.
