Kejadian itu dilaporkan berlaku di luar sebuah kafe siber di Bandar Seri Jempol pada jam 4 petang Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Noorzainy Mohd Noor yang dipetik China Press semalam berkata, ibu mangsa bertindak membuat laporan polis selepas mendapat rakaman video berhubung kejadian itu.
Menurut laporan Harian Metro pula, mangsa yang merupakan pelajar tingkatan empat itu tidak menceritakan kejadian terbabit kepada keluarganya, namun perkara itu akhirnya terbongkar selepas ibunya menerima rakaman video anaknya dibelasah suspek menerusi aplikasi WhatsApp.
Susulan itu, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dan menahan lima pelajar terbabit di rumah mereka untuk membantu siasatan pada Ahad lalu.
Beliau berkata, masing-masing seorang pelajar tingkatan satu, tingkatan dua, tingkatan tiga dan dua pelajar tingkatan lima itu telah dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.
Hasil siasatan mendapati lima suspek itu bergilir-gilir menendang dan menumbuk mangsa kerana tidak puas hati dengan tindakan mangsa sering meminta wang daripada rakan mereka.