Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Kamarudin Md Isa berkata jabatannya dan penggiat industri kini dalam proses perbincangan bagi melaksanakan usaha itu.
Menurutnya, Akta Makanan Haiwan 2009 membenarkan pengawalan terhadap penggunaan antibiotik ke atas makanan haiwan ternakan.
“Mereka (penggiat industri) perlu faham tentang antibiotik yang dibenarkan dan tidak dibenarkan.
“Jika ia sejenis antibiotik yang tidak dibenarkan, maka kita boleh menangkap dan mendakwa (penternak) di bawah sistem pemantauan yang didukung undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Veterinar Sedunia 2016 peringkat kebangsaan di Kompleks Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di sini hari ini.
Dr Kamarudin berkata demikian susulan kekhuatiran dalam kalangan pengguna di negara ini berhubung penggunaan antibiotik dalam perternakan yang dikhabarkan boleh mengancam kesihatan manusia akibat daripada infeksi resistensi antibiotik (kemunculan bakteria kebal terhadap antibiotik).
Ini susulan kekhuatiran rakyat Indonesia berhubung perkara yang sama yang disebarkan melalui media sosial apabila semakin banyak media di negara itu melaporkan keburukan penggunaan antibiotik terhadap haiwan ternakan.
Dr Kamarudin berkata penggunaan antibiotik dalam penternakan pada asasnya bertujuan merawat haiwan yang sakit, mencegah penyakit dan menggalakkan pertumbuhan namun ia harus diberi mengikut dos yang betul.
“Dalam penternakan ayam contohnya, antibiotik perlu disuntik dalam pemakanan pada peringkat awal dan pertumbuhan dan ia tidak akan menjejaskan apa-apa.
Namun apabila ayam sudah memasuki peringkat matang, antibiotik tidak boleh digunakan.
“Jadi harus orang ramai harus mempunyai pemahaman menyeluruh,” katanya.
Dalam isu lain, Dr Kamarudin berkata Malaysia tidak mempunyai pilihan selain daripada mengimport daging lembu dan kerbau India bagi memenuhi keperluan dalam negara.
Katanya, rakyat akan membayar harga yang tinggi sepertimana Indonesia bagi kedua-dua daging sekiranya kerajaan menghentikan import bekalan itu.
Malaysia ketika ini hanya mampu menghasilkan kira-kira 52,000 tan daging lembu setahun dengan nilai hampir RM169 juta, sedangkan permintaan domestik adalah kira-kira 191,000 tan setahun.
Dr Kamarudin berkata kerajaan juga membelanjakan RM1.14 bilion setahun untuk mengimport daging lembu dan kerbau dari negara luar, dengan 70 peratus daripadanya dari India manakala selebihnya dari Australia, Bangladesh dan Pakistan.
-Bernama
