Menurut laporan China Press, Daljinder Kaur bersama suaminya, Mohinder Singh Gill yang berusia 79 tahun sanggup menanggung risiko menimang cahaya mata pada usia tua demi menamatkan perebutan harta berjumlah kira-kira RM2.9 juta yang telah berlarutan hampir 40 tahun.
Daljinder berkata, ayahnya enggan memberikan harta itu kepadanya kerana beliau tidak mempunyai anak.
Sebelum meninggal dunia, ayah Daljinder telah membahagikan hartanya kepada lima anaknya, namun empat beradik Daljinder bertindak membolot harta miliknya.
Di India, individu yang mandul akan menjadi ejekan masyarakat manakala undang-undang negara itu pula menetapkan mereka yang berusia 45 tahun ke atas tidak dibenarkan mengambil anak angkat.
Dua tahun lalu, selepas ternampak iklan kaedah persenyawaan in vitro (IVF), pasangan yang melayari bahtera perkahwinan selama 46 tahun itu memutuskan untuk mencuba nasib mereka dan akhirnya dikurniakan seorang anak lelaki seberat 2 kilogram pada 19 April lalu.