Empat individu hilang 10 hari selamat tiba di KK

Empat individu hilang 10 hari selamat tiba di KK

Keempat-empat mangsa itu berada dalam keadaan stabil.

rakyat_sabah

KOTA KINABALU:
Empat individu yang hilang di perairan Kudat pada 2 Mei lalu selamat tiba di Kota Kinabalu (KK), pagi ini.

Mereka yang menaiki pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira jam 9.15 pagi tadi.

Ketibaan mereka diiringi Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Mohd Zubil Mat Som dan disambut ahli keluarga dan rakan mereka.

Pasangan suami isteri warga Sepanyol, David Hernandez Gasulla dan Martha Miguel; seorang warga China, Tommy Lam Wai Yin dan wanita tempatan, Armella Ali Hassan dijumpai selamat kira-kira jam 8.30 pagi semalam.

Mereka ditemui berada di sebuah bot milik nelayan Vietnam di perairan Pulau Amboyna Cay berhampiran sempadan Malaysia-Vietnam, kira-kira 240 batu nautika dari perairan Kudat.

Keempat-empat mangsa kemudiannya dibawa dengan ambulans ke sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Mohd Zubil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dimulakan sejak 3 Mei lalu ditamatkan secara rasmi pada jam 4 petang semalam.

Katanya, APMM mengambil masa 10 hingga 15 minit untuk memindahkan mangsa dari bot nelayan Vietnam itu ke kapal KM Bistari pada jam 6 petang semalam.

Beliau berkata, semua mangsa kemudiannya dibawa ke Stesen Lima Tentera Laut Diraja Malaysia di Pulau Layang-layang untuk diberikan rawatan awal, makanan dan rehat.

“Ada di antara mereka yang mengalami dehidrasi dan kulit melecur akibat cuaca panas,” katanya sambil menambah semua mangsa berada dalam keadaan stabil.

Menurut Mohd Zubil, pihaknya akan mengambil keterangan semua mangsa untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Mohd Zubil berkata, semua mangsa diselamatkan nelayan Vietnam itu di kawasan perairan negara.

Menurutnya, ketika operasi SAR dilakukan pada malam 3 Mei lalu, mangsa ternampak bot penyelamat dan menjerit meminta tolong.

“Namun disebabkan keadaan gelap, kami terlepas pandang beberapa saat. Saya difahamkan mereka hanyut jauh kerana arus yang kuat. Setiap hari pergerakan mereka seperti perahu layar kerana angin dan arus kuat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd Zubil mencadangkan sebuah jawatankuasa operasi SAR diwujudkan bagi membincangkan pendekatan terbaik, termasuk mempertimbangkan penggunaan aset baru untuk memperkukuhkan lagi operasi pada masa akan datang.

Empat individu itu dilaporkan hilang pada 2 Mei lalu ketika dalam
perjalanan dari Pulau Balambangan dan sepatutnya tiba di Tanjung Simpang Mengayau pada jam 8 malam hari sama.

Pada 8 Mei lalu, salah satu enjin bot berkenaan dijumpai tersangkut pada pukat nelayan dan sebuah lagi enjin bot itu terjatuh semula ke dalam laut ketika pukat itu ditarik naik nelayan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.