Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, ACP Fadzil Ahmad berkata, suspek berumur 20 tahun itu ditahan pada Selasa lalu di Hentian Sebelah Sungkai, kira-kira 100 kilometer dari sini.
Beliau berkata, suspek itu yang dikenakan perintah sekatan selama tiga tahun kerana terlibat dalam lima kejadian samun di Lunas, Kedah didapati membuka Peranti Pemantauan Elektronik (EMD) yang dipasang di kakinya.
“Suspek telah direman selama tujuh hari sehingga Selasa depan,” katanya ketika dihubungi BERNAMA hari ini.
Fadzil berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dan Seksyen 15 (4) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).
Dalam kejadian pada 30 April lalu itu, suspek yang tinggal berdekatan rumah mangsa datang untuk meminta air minuman sebelum memukul seorang wanita berumur 62 tahun sehingga rebah.
Selain itu, suspek juga bertindak memukul suami mangsa berumur 68 tahun yang menghidap strok sebelum melarikan diri selepas jeritan mangsa didengari jiran.
– BERNAMA